Semua surau Kementerian Pertahanan termasuk Masjid Pulau Baru-Baru lewat petang tadi mengadakan Majlis Doa Kesyukuran khusus bagi memperingati Sambutan Hari Ulang Tahun Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB) yang Ke-64 dengan tumpuan majlis di Surau Ad-Difa', Bolkiah Garison, Berakas, di sini.
Majlis Doa Kesyukuran di Surau Ad-Difa' disemarakkan dengan keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Timbalan Sultan.
Keberangkatan tiba Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota dijunjung oleh Pemerintah ABDB, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan; dan Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Brigedier Jeneral (B) Dato Seri Pahlawan Haji Alirupendi bin Haji Perudin.
Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dari Surah Ali 'Imran, ayat 121 hingga 127, yang dibacakan oleh Soldadu Mohammad Fahmi 'Izuddin bin Mudim Awang Haji Tamin dari Batalion Ketiga Tentera Darat Diraja Brunei (TDDB), wakil Qari ABDB bagi Pertandingan Musabaqah Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa bagi Anggota Tentera Kali Ke-9 dan Ke-10 pada tahun 2022 dan 2025 di Mekah Al-Mukarramah, Kerajaan Arab Saudi, serta Pertandingan Tilawah Al-Quran Kebangsaan bagi Tahun 1446 Hijrah/2025 Masihi yang telah berlangsung pada 11 Februari 2025 yang lalu di Negara Brunei Darussalam.
Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya menunaikan Sembahyang Fardhu Maghrib Berjemaah yang diimamkan oleh Pemangku Pengarah Jabatanarah Agama ABDB (JAMA'AT), Leftenan Kolonel Abdul Mujib bin Haji Japar, yang kemudiannya mengimamkan Sembahyang Sunat Hajat Berjemaah bagi memohon kesihatan dan kesejahteraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, dan juga memohon doa agar ABDB sentiasa mendapat petunjuk dan perlindungan Allah Subhanahu Wata'ala dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya.
Majlis kemudiannya disusuli dengan bacaan Surah Yaa Siin dan Tahlil serta Doa Khas Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB Ke-64, sebelum diakhiri dengan Sembahyang Fardhu Isyak Berjemaah.
Duli Yang Teramat Mulia kemudiannya berkenan berangkat ke Mes Pegawai, Bolkiah Garison bagi sesi foto kenangan, diikuti dengan Majlis Santap sebelum majlis berakhir.
Turut hadir, para jemputan khas yang terdiri daripada mantan-mantan Timbalan Menteri Pertahanan dan Pemerintah ABDB, Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, Jawatankuasa Eksekutif ABDB, Komandan-komandan, pengarah-pengarah, dan pegawai-pegawai Kanan Kementerian Pertahanan.
Majlis Doa Kesyukuran tersebut diadakan dengan tujuan untuk memohon keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata'ala agar ABDB sentiasa dikurniakan kekuatan dan kejayaan dalam melaksanakan visi dan misinya.
Sambutan Hari Ulang Tahun ABDB Ke-64 ini bertemakan 'Bersama Bersatu Mencapai Cita Negara', dijadualkan akan berlangsung pada 31 Mei 2025, bertempat di Pangkalan Tentera Laut Diraja Brunei, Muara.
Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto